Message to Dear Followers/silent followers (whoever you are, where ever you are in any part of the world (rusia, indon, US, Ireland, UK, Saudi, Japan etc.). I might not know you all, might not even know your name.
1)for one follower. Thanks for reminding me to update the blog. Almost forgot I have a blog hahahah.
2)I know it has been a year since i did not update anything. I was too busy... very busy with studies and hospital. I would say thank you for opening my blog dgn setia!! even xde update pun haha. I know, the stats showed even last week pun ada org buka blog ni even dh bersawang. Im flattered n thanks for doing that. haha LOL
3)next time if you guys want some update from me, just shout dont be shy! you can shout in the blog pun, tak perlu PM me pun. not that im abandoning the blog, just that will create the push to update(given that if im not busy!! -_-)
owh n satu lagi, anda DILARANG sama sekali meng-copy sebarang tulisan dari blog ni. I'm serious when it comes to harta intelek n ownership. takdela poyo sampai lawsuit, just respect what's others own. kalau nk copy gak minta la izin, dan kalau buat tanpa izin, nnti kat akhirat saya tuntut. =)
so, as a sign of appreciation, I have written this excerpt below just for you guys( i shall call as follower setia or follower tabah sepanjang tahun hahahah) *kidding =p
Aku membesar di pekan,
tapi nasabnya rapat di kampung. Tulisan ini aku tujukan pada anak-anak
muda dai’e yang kenal benar istilah dakwah, tarbiyah, ikhtilat, baitul
muslim dan pelbagai lagi terma dalam dunia pengorbanan. Serta buat
mereka yang terus menerus menggerakkan islah ummah dengan pendidikan
pondok sehingga hari ini! Terutamanya buat mereka yang menggerakkan
Pondok Misbahul Falahiah Parit Panjang, Baling.
*************************************************************
Julai 1980 bersamaan Syaaban 1400 Hijrah,
Pondok/Pesantren Misbah Falahiah, Parit Panjang, Baling.
Bening
pagi itu. Suram. Ada beduk diketuk. Halimah bangun dari buaian
mimpinya. Halimah bangun mengejutkan dua lagi teman sepondoknya Saadiah
dan Nusaibah. Pondok kayu mereka kecil 3X4 meter sahaja. Walau sempit
muat saja buat mereka bertiga tidur, menelaah kitab kuning kuliah Ustaz
Faisal dan menghafali hadis dan tafsir kuliah Tuan Guru Ustaz Bakar di
bawah pelita minyak. Di hujung pondok mereka ada dapur kayu buat mereka
masak. Biasanya anak dara itu masak nasi, gulai ikan kering sahaja. Itu
pun kalau ayah hantar bekal ikan kering buat anaknya. Pondok kayu itu
bergoyang sesekali kalau Halimah berjalan kasar, bunyi geser kayu
mengilukan gigi. Masa itu, atap zink mahal, maka mereka hanya berbumbung
nipah. Itu pun harus berbongkok kalau berdiri takut rompong bumbungnya.
Biar kecil tapi alhamdulillah Tuan Guru Ustaz Bakar beri izin ayah
mereka buat pondok atas tanah pondok pengajiannya untuk anak-anak gadis
dari pedalaman Baling itu belajar ilmu Allah. Ayah Halimah yang buatkan
pondok itu dengan tukul dan paku bersama ayah Saadiah. Ayah Saadiah
seorang tukang kayu di kampung itu. Ayah Halimah dikenali orang kampung
sebagai Pak Lang Man pula cuma kerja menoreh, itu pun tanah yang
dipugarnya 15 tahun dulu. Hidup dengan subsidi kerajaan dacing.
Halimah
terus ke bilik air mengambil wudhuk. Dia ceduk air dengan gayung
tempurung. Sejuk air mata air itu mencelikkan matanya. Kalau di rumah di
Parit Panjang, Baling, ibunya Mak Lang Dah akan jerang air panas buat
ambil wudhuk subuh. Di Baling, masa itu belum ada sistem perpaipan air
yang baik dari jabatan air, banyak air mereka hanya dapat dari ‘piling’ .
Paip panjang ditembak masuk ke dalam tanah, pam menghisap air dari
telaga bawah tanah. Sejuk, tapi orang Baling memang biasa sangat mandi
air yang mengalir di perbukitan, air bukit kata mereka. Baghda Halimah
membasuh kedua kakinya, azan subuh mendayu-dayu. Halimah berbisik
perlahan “gemersik suara muazzin, tentu saja itu abang Hassan yang
azan”. Dia tersenyum sendirian. Sudah lama dia menyimpan hati pada abang
Hassan. Dia tahu mana mungkin perigi keluar menyapa timba, mana mungkin
dalam kerangka masyarakatku hari ini bisa aku pinang abang Hassan yang
warak. Dia tahu kalau dia bicara sama ibu, pasti ibu herdiknya
menggalak dan tidak beradab si anak dara. Maka, dia tahu elok saja dia
diam, simpan di hati.
Abang Hassan atau nama
penuhnya Abdullah Hassan Ziad bin Abu Bakar, anak teruna sulung Tuan
Guru Ustaz Bakar. Hassan sudah lama belajar di pondok abinya. Dua bulan
depan dia akan sambung di Universiti Madinah dalam bidang Usul Fiqh.
Memang Hassan kebanggaan abinya. Putera kesayangan, sosok contoh pemuda
sekalian Baling. Abinya dulu tak pernah mengaji sampai sana tapi
lahirnya tetap Tuan Guru, nama tuan guru bukan sesuatu yang diberi
universiti atau sultan tapi ditabal masyarakat. Amanah, menyantuni ilmu
serta rasa hormat masyarakat kepada beliau, maka masyarakatlah yang
menabalkan nama Tuan Guru pada beliau sedang beliau selesa dipanggil
Ustaz Bakar sahaja. Tuan Guru Ustaz Bakar merantau ke pelbagai pondok
dan pesantren menggali ilmu Allah. Beliau pernah belajar di sebuah
pondok pengajian di Sik, Kedah dan Pulau Melaka di Kelantan. Hidupnya
berguru mencari ilmu, masa zaman British dulu, memang dia berhasrat mahu
naik kapal belajar sampai Madinah , tapi Jepun masuk Malaya. Hangus
impiannya. Jadi sekarang, dia mahu anak terunanya menyambung
cita-citanya. Dia tahu Madinah Munawwarah itu gedung ilmu masa dia
ziarah puluhan tahun lalu semasa tinggal 3 minggu di Madinah masa
mengerjakan Haji dan ziarah. Dia rindu pada buah tin dan zaitun, pada
segarnya air zamzam. Dia jatuh cinta pada Madinah, tapi harus pulang
pada Pondok Misbah Falahiah, ada anak dan zaujah menunggu.
Halimah
memakai telekung putihnya, seiring berjalan teman sepondoknya ke
balasoh, tapi orang Kedah panggil balasoh itu ‘napsoh’. Mereka mahu
sempat jemaah subuh di napsoh. Banyak lagi muslimat berkerudung putih
masuk ke dalam napsoh terus berdiri dalam saf. Yang musliminnya juga
sama. Segak berserban putih, berjubah indah. Subuh di Pondok Pengajian
Misbah Falahiah sentiasa penuh. Disiplin ilmu anak muda pondok ini
diterjemah pada waktu solatnya. Penuh, bukannya ada warden yang
mengejutkan mahupun yang mendenda kalau tidak ada di napsoh kerna mereka
lebih mahukan redha Allah. Ayah ibu mereka kumpul wang memotong jual
getah sekerap, jual petai dan genuak di hutan Baling untuk jadikan
mereka pemuda berharga. Biar tak berharta tapi kaya ilmu Allah.
Rata-rata masyarakat Baling ketika itu dipandang kedana, miskin oleh
orang luar. Terutama yang dari pekan seperti Sungai Petani, Kulim dan
Alor Setar. Kalau disebut Baling dan Sik, yang mereka terfikir
kemiskinan melampau, makan pucuk-pucuk di pokok, pucuk paku, pucuk
janggus, rias(batang) pisang, umbut nyiur. Tapi mereka tidak tahu, orang
Baling kaya pekerti, mereka lebih berwawasan agama!
Halimah
dan rakannya terus masuk saf. Imam Subuh itu suaranya mendayu, surah
‘Sajadah’ terdengar indah. Abang Hassanlah yang mengimami solat pagi
itu. Hati Halimah ketika itu antara berbunga dan kusyuk. Dia istighfar,
berkali surah an-nas dia ulang baca mahu hadirkan kusyuk dalam Subuhnya.
Usai
Subuh, Halimah, Saadiah dan Nusaibah gegas pulang ke pondok mereka
‘menyorok’ sarapan nasi lemak dan lepat pisang yang Saadiah masak . Hari
ini giliran Saadiah yang masak. Baghda itu mereka terus ke bilik
kuliah di tingkat bawah napsoh. Mereka duduk di balik tabir, di balik
tabir itu mereka dengar suara sama itu lagi. Yang menyampaikan kuliah
Bahasa Arab itu abang Hassan. Kelas Lughah arab itu memang sudah Tuan
Guru Ustaz Bakar sudah amanahkan anak sulungnya mengambil alih kerana
kebolehannya berbahasa arab dengan cemerlang. Abdullah Hassan, pemuda
berumur 21 tahun berperwatakan lembut, senyumnya manis ada lesung pipit
di kiri. Orangnya pemalu tapi tegas. Susuk tubuhnya tegap, tak lekang
tanpa berserban putih pemberian abinya ketika pulang dari haji.
Halimah
pula ketika itu anak gadis 17 tahun berkulit putih, anak mata coklat
cair, bulu mata lentik, mukanya bujur gadis kampung. Peramah tapi amat
bersopan santun. Sentiasa tampil segak bertudung litup dangan busana
muslimahnya. Halimah punya wawasan tersendiri, dia masuk Pondok Tuan
Guru Ustaz Bakar sejak umur 14 tahun lagi. Dari awal lagi dia mahu jadi
ustazah, mahu jadi pendidik. Dia tak mahu terperok di rumah jual kuih
sepit dan bahulu macam ibunya-Mak Lang Dah.
Sebenarnya
Halimah dan abang Hassan adalah sepupu. Tuan Guru Ustaz Bakar adalah
abang kandung kepada Pak Lang Man-ayah Halimah. Sebenarnya Tuan Guru
Ustaz Bakar berpangkat Pak Ngah kepada Halimah. Tapi bila dipondok,
professionalisme pendidikan, maka Tuan Guru adalah Tuan Guru, hanya bila
di rumah beliau adalah Pak Ngah kepada Halimah. Halimah dan Abang
Hassan sudah lama kenal, sejak kecil dulu lagi. Mereka dulu bermain
bersama guli, gasing, laga buah getah. Tapi ini cuma masa usia mereka
7-9 tahun sahaja. Lama dahulu.
Ogos 1980 bersamaan Ramadhan 1400 Hijrah,
Rumah Halimah di Kampung Parit Panjang, Baling.
Mak
Halimah iaitu Mak Lang Dah (Hamidah) sibuk menebar arang bara panas di
luar rumah. Ada satu bekas berisi larutan putih, tampaknya seperti pekat
penuh santan. Mak Lang Dah tuang cecair putih itu pada sarang kuih
sepit lalu dia letak atas bara api. Mak Lang Dah sibuk membakar kuih
sepit memenuhi permintaan pelanggan-pelanggannya di sekitar Baling dan
Sik. Halimah masa itu ada di rumah pulang bercuti sempena Ramadhan dan
hari raya yang bakal tiba tak lama lagi. Halimah bantu ibunya menge-pek
kuih bahulu dan kuih sepit sebelum pembeli datang ke rumah mengambil.
Mak Lang Dah jerit “ Mah, hang bubuh 4 bungkuih bahulu dengan 5
balang kuih sepit dalam satu plastik untuk Mak Ngah dengan Pak Ngah di
pondok. Depa ada pesan kat ayah semalam. Katanya Abang Hassan hang nak
mai dengan motor lepaih asaq sat lagi”
Halimah
terdengar kata-kata ibunya, hatinya jadi berbunga-bunga. Abang Hassan
mahu datang ke rumah. Dia jadi suka. Masakan tidak, kalau di Pondok
Misbah Falahiah mana dia ada kesempatan mahu tatap wajah lembut Abang
Hassan atas isu aurat dan ikhtilat. Lagipun dia Ustaz kalau di pondok,
tapi hari ini Abang Hassan mahu datang ambil bahulu dan kuih sepit
sebagai seorang sepupu. Galaknya Halimah diperhati ibunya, sambil
mengerling tajam pada Halimah.
Baghda asar
hari itu, Halimah dengar bunyi enjin motor mendekati pintu hadapan
rumah. Dia pakai kerudungnya dan buka pintu. Dia dengar salam dari
seorang anak muda. Dia kenal benar suara itu! Dibukanya jendela pintu,
nah di situ berdiri Abang Hassan dengan motor Honda c-70nya. Halimah
tersipu. Abang Hassan memulakan bicara “ Assalamualaikum dik mah, mak lang dengan pak lang ada dak? Dik Mah sihat? “ Belum pun sempat Halimah menjawab, ibunya/ Mak Lang Dah sampai di muka pintu. “Masuk
dulu mai Hassan. Mak Lang bancuh ayaq teh cicah dengan biskut marie.
Lama Mak Lang tak nampak Hassan. Sibuk gamaknya noh di Pondok ayah.
Halimah, cek pi ambilkan plastik bahulu atsa para di dapur bawak mai
sini“. Halimah dengan taatnya menurut arahan ibunya walaupun ada
sedikit protes pada airmukanya. Hassan menolak lembut permintaaan Mak
Langnya “Tak apalah Mak Lang, cek nak kelik dah ni, ummi dok tunggu
kat rumah, suruh tolong kacau dodol. Nanti sebelum cek bertolak naik
kapai pi Madinah, cek mai jumpa Mak Lang lagi lepaih raya, boleh ka Mak
Lang?”. Mak Lang menjawab “boleh sangat, Hassan tahulah di mana
nak cari Mak Lang kan. Sejuk perut Ummi Hassan dapat anak ustaz mangaji
jauh sampai Madinah”. Halimah kembali ke pintu hadapan dengan
plastik ditangan, dia hulur pada abang Hassan. Hassan dan Mak Lang Dah
kebingungan hairan dengan perbuatan Halimah. Kenapa plastik kosong yang
dihulurnya. “Mana kuihnya?” Ibu Halimah bertanya pada Halimah. “anak dara tak baik berangan”
nah ibunya memerli Halimah di hadapan Abang Hassan. Rupanya Halimah
jadi tak keruan bila berdepan dengan Hassan yang dia sudah lama
menyimpan hati.
Hassan gegas pulang memacu
terus Honda cup c-70nya baghda bersalam dengan Mak Lang Dah. Lewat itu
Halimah hanya memerhati Abang Hassan semakin menjauh dari pandangan.
Dia terus bicara sama ibunya “mak ni suka perli orang, kalau ya pun tak mau la perli depan abang Hassan. Cek malu tau dak”. Mak Lang Dah hanya tersenyum melihat keletah anak dara seorang ini.
September 1980 bersamaan Syawal 1400 Hijrah,
Rumah Halimah di Kampung Parit Panjang, Baling.
Hari
itu hari raya kelima. Tuan Guru Ustaz Bakar, isterinya serta anaknya
Hassan sedang duduk di ruang tamu rumah Halimah. Ayah Halimah sibuk
bersembang dengan Tuan Guru dan Hassan. Mak si Halimah pula rancak
berbual dengan ibunya Hassan. Halimah masa itu di dapur jerang air dan
memotong lemang dan ketupat palas ke dalam pinggan. Dia cedok rendang
masuk ke dalam mangkuk.
Halimah angkat
semua itu ke ruang tamu untuk dimakan bersama sanak saudaranya di ruang
tamu di depan. Sedang duduk begitulah tiba-tiba suasana bertukar sunyi
bila isteri Tuan Guru mula bersuara “Kak Esah dgn abang Bakar nak
ajak la Man, Dah dengan Halimah mai rumah minggu depan. Ada majlis
sikit. Hassan anak kami nak bertunang dengan anak Tuan Guru dari sebuah
Pondok di Lanai, Baling. Mai la kalau tak ada kerja masa tu. Ingat nak
bagi bertunang dulu sebelum Hassan bertolak ke Madinah bulan depan”
Saat itu, berpinar pandangan Halimah, dia bisik dalam hati “Abang Hassan? Bertunang? Dengan orang lain? Anak Tuan Guru juga? Ya Allah.”
Berkecai,
berderai air mata. Dia bangun bingkas ke dapur sambil mata-mata lain
memandangnya beredar. Mereka sedikit bingung, adakah Halimah sedang
sakit.
Hassan juga hairan kenapa dengan dik mah. Mak Lang
Dah yang kenal benar dengan anaknya turut bangun ke dapur mendapatkan
Halimah. Halimah berdiri di tepi sinki, dia teriak. Titis-titis
airmatanya membasahi dasar sinki. Mak Lang Dah usap belakang Halimah.
Halimah pusing dan memeluk ibunya sambil bisik lembut di telinga ibunya
“mak, abang Hassan!”. Mak Lang Dah sebenarnya tahu Halimah memang ada
menyimpan hati pada anak saudaranya Hassan, tapi dia ingat itu cuma
main-main. Lagipun, mereka berdua rapat hanya sebagai sepupu. Melihatkan
mata anak daranya yang kemerahan, Mak Lang Dah teriak sama.
Menyangkakan Halimah sakit, Tuan Guru Ustaz Bakar, isterinya dan anaknya Hassan beransur pulang dahulu.
Oktober 1980 bersamaan Zulkaedah 1400 Hijrah,
Pondok/Pesantren Misbah Falahiah, Parit Panjang, Baling.
Minggu
lepas selesai sudah majlis tunang dan berkira antara keluarga Hassan
dan keluarga Tuan Guru dari Lanai. Hari ini Pondok Misbah Falahiah
meraikan perarakan bertolaknya Ustaz Abdullah Hassan bin Bakar ke
Madinah demi melanjutkan kembara ilmunya. Kereta Dutson model
lama milik Tuan Guru ustaz Bakar itu dipacu laju oleh beliau buat
menghantar anaknya naik kapal terbang ke Madinah di lapangan terbang
Pulau Pinang. Berbalam-balam kereta Dutson kuning itu hilang
dari pandangan selautan penghuni pelajar Pondok Misbah Falahiah. Dari
celahan pokok dokong, Halimah memerhati dari jauh Abang Hassan pergi.
Dia tahu dalam kerangka melayunya, malulah kiranya dia yang mencari
timba. Dia tahu tak mungkin dia bisa meminang dahulu abang Hassan kerana
dia perempuan, apatah lagi mendirikan baitul muslim dengan muslimin
sehebat Abang Hassan. Tapi dia lupa tentang kisah Saidatina Khadijah,
bagaimana yang mustahil itu tidak mustahil. Dia pinang Muhammad, pemuda
terhebat sepanjang zaman!
Ogos 1983 bersamaan Syawal 1403 Hijrah,
Rumah Halimah di Kampung Parit Panjang, Baling.
Sudah
3 tahun Abang Hassan ke Madinah. Halimah juga sudah habis belajar. Dia
sudah umur 20 tahun. Sekarang Halimah sudah habis belajar, menunggu
surat tawaran menjadi ustazah. Dia ada cuti berbulan lamanya. Sempena
itu sekarang dia jadi pengasuh bayi. Dia tolong jaga/asuh cucu sulung
Pak Hamid dan Mak Hendon di Kuala Kedah, Alor Setar. Sebenarnya Pak
Hamid dan ayahnya Halimah teman satu sekolah di Maktab Mahmud Jalan
Sekerat, Alor Setar dulu. Pak Hamid datang berziarah sahabatnya di
Parit Panjang itu lalu nyatakan yang dia mencari pengasuh buat cucunya
kerana anak lelakinya dan menantunya terlalu sibuk bekerja di Pejabat
Tanah Alor Setar.
Sebenarnya Pak Hamid ada
seorang lagi anak lelaki. Anak keduanya, Azlan berumur 23 tahun. Baru
sahaja tamat belajar. Dia jurutera lulusan Universiti Wisconsin. Azlan
ini budak sekolah asrama penuh, Sekolah Dato’ Abdul Razak. Sekarang dia
sudah jadi jurutera Lembaga Letrik Negara (LLN).
Dan
hari ini, Pak Hamid membawa rombongan berhajat besar ke rumah Pak Lang
Man di Parit Panjang. Mereka mahu merisik Halimah buat Azlan. Mendengar
berita itu, Halimah teriak lagi. Sudahlah dia terlepas Abang Hassan
warak, tapi kini yang masuk meminangnya pula pemuda berpendidikan
Amerika. Pendidikan Barat! Dia teriak lagi mengenangkan pastinyalah
Azlan itu pemuda yang selesa dengan jeans, bangles, berpakaian hippies
seperti yang sedia tahu di Amerika! Halimah rasa jantung disentap,
apalah salahnya hingga jodoh yang datang, jauh sekali dengan latar
belakang pondoknya, bukan suami yang dia impikan, sikit pun tidak iras
latar belakang ilmu macam Abang Hassan. Hakikatnya, Halimah belum pun
pernah bersua muka dengan Azlan, tapi dia hanya membuat andaian.
Halimah bicara sama ibu “mak, kita makan nasi pucuk paku, kerabu, gulai rias pisang… dia makan roti, pizza dan hot dog.. Kita pakai tudung labuh, dia seluar ‘katok’ mak. Cek tak mau mak” sedu sedan bicara Halimah, ibunya Mak Lang Dah menenangkan. “mak
faham apa yang Mah sedihkan, tapi mak sudah istikharah dah istisyarah
dengan ayah hang.. Kami yakin ini yang terbaik buat Mah. Mak dan ayah
kenai sapa Pak Hamid dan Mak Hendon.”
Mendengar itu Halimah teriak lagi. Dia rasa ibunya juga sudah tak memahaminya.
Mak
Lang Dah mengesat airmata anaknya, perlahan-lahan dia bawa Halimah ke
ruang tamu buat berbual dengan rombongan Pak Hamid. Cantik Halimah hari
itu. Dia berbaju kurung , tanahnya berwarna ungu muda lavender,
bunga-bunga baju itu halus, susun cantik terletak. Halimah bertudung
labuh berwarna ungu gelap. Dia salam Mak Hendon. Dia sempat mengerling
ke arah Azlan. Dia terkejut melihat penampilan Azlan, berkopiah putih
berseluar slack coklat gelap. Sangat berbeda dengan apa yang dia
fikirkan. Orangnya berkulit cerah berkaca mata. Hidung mancung terletak.
Bisik hati Halimah, “segak orangnya, tapi ini tak bermakna aku suka!”
Halimah
diam saja sepanjang dua keluarga itu berbual. Dia memasang telinga bila
Azlan bersuara dalam perbualan. Dia jadi terkejut bila Azlan berbicara
tentang politik Mesir- dia tahu siapa sosok bernama Al-Banna, politik
Turki, usul fiqh. Rupanya Azlan juga pernah menyantuni ilmu di Pondok
Parit Panjang dan Pondok Lanai untuk beberapa bulan, bertahun dahulu
sebelum dia bertolak ke Amerika. Habis itu Azlan bicara pula tentang
muamalat Islam. Halimah terkejut bila dengar Azlan bicara tentang Syeikh
Ahmad Yassin, Syed Qutb, Ustaz Ibrahim Libya, Tuan Guru Fadhil Noor dan
ramai lagi. Rupanya Azlan ini bukan calang-calang orangnya. Halimah
ingat Azlan akan bangga bercerita tentang Ronald Reagan, John F.
Kennedy, Margaret Thatcher, inflation dan casflow, Dow Jones dan Wall
Street.. Sangkaan Halimah meleset.
Berpendidikan Barat tak semestinya liberal,
Konservatif belum tentu faham agama,
Dakwah tak bermakna lupakan dunia,
Mencari dunia tak bermakna menggadai syurga.
Buat apa pun, cari redha-Nya.
Cari guru yang baik, santuni ilmunya.
Baghda
itu juga, Halimah bingkas bangun bergegas ke biliknya. Airmata
ditakunginya berderai, masuk biliknya dia hampar sejadah, terjelopok dia
sujud syukur, Mak Lang Dah yang mengejar dari belakang menghendap di
muka pintu, tahulah dia bahwa tangis anaknya kali ini bukan tangis
kecewa, tapi tangisan syukur buat Allah Rabbul Jalil.
Halimah
sedar, Azlan bukan sahaja telah mengetuk pintu hatinya dengan
penampilan dan budi pekerti beliau, tapi Azlan juga telah mengetuk
mindanya, membuka akal, memberi Halimah sedar bahawa betapa dia terlalu
terpelosok dengan kerangka pemikiran zaman.
Kiri
atau kanan, konservatif atau liberal, fanatik atau tidak, berkecuali
juga satu kumpulan lagi. Jangan kata anda bukan mana-mana, tanpa anda
sedar salah satu cara fikir itu pasti kamu. Nah, mustahil kau tak punya
identiti!
-Fakhurrazi Bakri 23/5/2012 5.40pm-
Bahang musim panas menerobos bilik, berpeluh!